Erti hadis: Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., sesungguhnya Nabi SAW bersabda;
“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ‘ayat’ dan ceritakanlah
mengenai Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan
dosa.” (Riwayat
al-Bukhari)
Keterangan hadis:
- ‘Ayat’ disini bermaksud nasihat atau pedoman yang membezakan perkara yang baik dan buruk.
- Nabi SAW telah menegah daripada menceritakan tentang Bani
Israil ketika hukum-hakam Islam dan tapak agama belum kukuh, kerana
dikhuatiri fitnah. Apabila tiada lagi perkara yang perlu dikhuatirkan
maka diizinkan agar boleh diambil iktibar.
(Fath al-Bari)
Jelas sudah seperti yang dinyatakan di dalam hadis diatas bahawa
semua orang mempunyai kewajipan untuk menyampaikan ilmu. Dan ilmu yang
perlu disampaikan adalah ilmu yang baik-baik.seseorang tidak seharusnya
menyampaikan ilmu yang tidak bermanfaat seperti cara memecah masuk rumah
orang lain, atau cara menipu dan sebagainya. Malah adalah tidak elok
untuk mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara tersebut. Namun
kiranya seseorang mempunyai pengetahuan sebegitu, ia adalah suatu
perkara yang tidak patut diamalkan.
Arahan daripada Nabi SAW tidak boleh diambil ringan. Sekiranya ayat
daripada Rasulullah diabaikan maka ramailah umat pada zaman selepas
Baginda tidak akan mengetahui banyak perkara. Tetapi alhamdulillah, umat
pada masa kini masih mampu mendengar hadis-hadis daripada Baginda SAW
yang diriwayatkan oleh para sahabat. Oleh itu, ianya perlu terus
disampaikan generasi ke generasi agar tidak akan luput.
Cara menyampaikan sesuatu perkara yang baik ada pelbagai. Kita boleh
menyampaikan ilmu secara terus seperti guru disekolah yang secara
langsung berhadapan dengan murid atau pelajar. Mahupun kita boleh
menyampaikan melalui penulisan seperti buku-buku atau kitab-kitab.
Penulisan yang dihasilkan akan dibaca oleh sesiapa juga. Hanya si
pembaca yang dapat menentukan faedah yang didapati daripada penulisan
itu mengikut keikhlasan hatinya.
Selain daripada itu, Nabi SAW juga mengarahkan diceritakan mengenai
Bani Israil agar dapat dijadikan iktibar. Sedangkan sebelumnya Baginda
melarang perbuatan tersebut kerana bimbang menjadi fitnah disebabkan
kurangnya kekukuhan tapak agama Islam pada masa tersebut. Jika
diterjemahkan ke masa moden, kita memahaminya sebagai kita adalah
dibenarkan menceritakan keburukan orang lain, dan seterusnya ini boleh
menjadi mengumpat. Haruslah difahami perkara yang dibenarkan Baginda
adalah supaya dapat menjadi iktibar kepada semua. Kita sebagai umat
Islam mahupun sesiapa juga tidak sepatutnya menceritakan keburukan orang
lain. Allah amat melarang umatnya menceritakan aib diri sendiri apatah
lagi orang lain.
Bersinambungan dengan hal yang berkenaan, kita janganlah menyempitkan
pemikiran dan menganggap bahawa tugas menyampaikan ilmu hanyalah pada
ulama, guru, dan yang berkaitan. Hakikatnya semua orang memikul
tanggungjawab tersebut. Tiada lagi istilah saya tidak layak memberi
nasihat. Walhal, seorang anak kecil pun layak memberi nasihat kepada
yang dewasa. Malahan, nasihat yang diberikan oleh seseorang yang tidak
waras juga tidak boleh diambil ringan sekiranya apa yang disampaikan itu
adalah perkara benar dan betul.
Seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
Erti hadis:
Daripada Zaid bin Thabit r.a., Nabi SAW bersabda: “Allah menyerikan
orang yang mendengar suatu hadis daripada kami lalu ia menghafalnya
sehingga ia menyampaikan kepada orang lain. Kemungkinan seseorang itu
membawa suatu kefahaman kepada orang yang lebih memahami.
Berkemungkinan juga orang yang membawa suatu kefahaman sebenarnya tidak
memahaminya.”
(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Kata ‘menyerikan’ dalam hadis diatas bermaksud mengelokkan akhlak dan
meninggikan darjat. Subhanallah! Sungguh beruntung mereka. Allah akan
mengangkat darjat mereka yang menyampaikan ilmu Allah. Sesungguhnya ilmu
yang disampaikan tidak akan berkurang melainkan pemahaman ke atasnya
akan semakin meningkat. Hadis ini juga menunjukkan wajibnya menuntut
ilmu (tafaqquh), bersungguh-sungguh mengkaji makna hadis dan merumuskan
perkara yang tersingkap di sebalik suatu hadis.
Jangan kita takut kita tidak pandai untuk menyampaikan kerana kurang
kefahaman. Kemungkinan orang yang disampaikan itu akan lebih memahami
sesuatu perkara berbanding mereka yang menyampaikan seperti yang
diperjelas dalam hadis ini. Jadi kesimpulannya, marilah kita sama-sama
mewujudkan generasi berilmu, dan tidak kedekut ilmu, semoga Allah
memberkati kita semua.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment